Thursday, June 19, 2008

Bekas peneroka Felda Sendayan: Apa lagi tak puas hati ni...?

Coweng terbaca dalam akhbar Sinar Harian berkenaan sikap beberapa penduduk yang membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah terhadap Menteri Besar Incoporation (MBI) kerana mendakwa syarikat itu tidak mematuhi perjanjian jual beli berhubung tanah pertanian mereka masing-masing yang seluas 0.4 hektar.
Memang susah nak memuaskan hati semua orang. Macam mana terbaik pun diselesaikan permasalahan mereka yang sudah tertangguh lebih 10 tahun lalu, masih juga mahu mencari ruang untuk menidakkan kebenaran yang sudah termaktub. Memukul canang supaya orang terpengaruh dengan ketidakbenaran yang direka oleh diri sendiri yang bersikap mementing diri, sedangkan orang yang ikhlas menyelesaikan masalah mereka tidak langsung dijaga hati dan nama baik.
Apakah ini balasan yang diberikan kepada seorang pemimpin yang telah berusaha siang malam dan mencari jalan terbaik untuk merungkai kemelut peneroka Felda Sendayan sehingga golongan peneroka mampu menggenggam ratusan ribu ringgit hasilnya?
Belajarlah erti bersyukur dan jangan bersikap tamak, malah lebih buruk lagi cuba untuk menconteng arang kepada orang yang telah memberikan bantuan. Silap nanti diri sendiri yang tersungkur dan rebah tanpa dipedulikan orang.
Coweng terpanggil untuk mencari kebenaran ini dan ternyata di dalam laporan sebelum ini, apabila dibaca dan diteliti secara terperinci jelas terdapat kekeliruan bagi pihak yang mendakwa. Kebenarannya yang coweng difahamkan iaitu pada bulan Februari 2005, MBI telah mengemukakan cadangan package penyelesaian dan telah dipersetujui oleh sebahagian besar tuan tanah Kampung Sendayan.
MBI bersetuju untuk membeli tanah ladang dan tanah dusun tersebut dengan harga belian mengikut kadar RM3.00 sahaja setiap satu kaki persegi ke atas keseluruhannya.
Kedua-dua pihak juga bersetuju harga belian yang perlu dibayar oleh MBI kepada tuan tanah akan dibayar, dilangsaikan atau diselesaikan dalam bentuk wang tunai dan dalam bentuk hartanah dalam bahagian-bahagian dan mengikut cara yang dinyatakan iaitu:
Dibayar sebanyak 40 peratus secara tunai yang mana 10 peratus telah dibayar semasa perjanjian jual beli dengan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan. Balasan aset yang terdiri daripada pemberian tanah iaitu secara kontra iaitu sebidang tanah bangunan seluas 929 meter persegi atau bersamaan 10,000 kaki persegi bersama dengan sebuah rumah banglo satu tingkat yang didirikan di atas keluasan binaan bangunan berjumlah 168 meter persegi atau bersamaan 1,800 kaki persegi yang bernilai RM240,000. Satu bidang tanah dusun dengan keluasan 0.8094 hektar atau bersamaan 2 ekar secara aggreget yang bernilai RM348,480.00.
Coweng difahamkan daripada perjanjian itu kedua-dua pihak telah bersetuju bahagian harga belian yang akan dibayar atau diselesaikan secara balasan tunai akan dibayar oleh MBI kepada tuan tanah dalam tempoh satu bulan dari tarikh perjanjian ditandatangani. Manakala bahagian harga belian yang akan dibayar atau diselesaikan secara balasan aset akan diselesaikan dalam tempoh masa 24 bulan dari perjanjian ditandatangani.
Berdasarkan perjanjian itu, MBI hanya akan menyerahkan sebuah rumah banglo satu tingkat dan tanah pertanian seluas dua ekar kepada penduduk Kampung Sendayan yang terlibat selewat-lewatnya pada bulan Februari 2008.
Memandangkan tanah tersebut sedang dibangunkan secara berperingkat-peringkat, MBI bersetuju sebahagian daripada tanah itu yang masih lagi ada tanaman kelapa sawit dipajakkan kepada Syarikat Tanah Datar Sdn. Bhd. Untuk mengeluarkan hasil mulai 1 Mei 2006. Bagi tanah lapang yang lain dilantik Syarikat ZNB Enterprise menguruskan penyewaan tanah-tanah tersebut kepada pengusaha kecil sama ada bagi tujuan menanam sayuran, rumput, tapak semaian dan sebagainya iaitu bagi tempoh jangka pendek. Kebenaran kepada kedua-dua syarikat tersebut telah ditamatkan pada 31 Mei, 2008.
Oleh itu, tuduhan MBI menyeleweng atau menyalahgunakan kuasa serta tidak mematuhi perjanjian jual beli terhadap tanah-tanah tersebut adalah tidak berasas. Berdasarkan perjanjian yang telah ditandatangani, bekas tuan-tuan tanah tersebut hanya berhak terhadap tanah pertanian seluas dua ekar selepas diberi milik kepada mereka. Tanah tersebut telah diberi milik kepada mereka hanya pada bulan Februari 2008.
Kebenarannya ada pada penjelasan coweng ini. Oleh itu, akurlah kepada kenyataannya dan janganlah diputarbelitkan kesahihannya, kelak nanti takut tuduhan akan memakan diri sendiri.
Sesungguhnya, jangan sekali-kali kita permainkan keikhlasan dan kejujuran, kerana itu adalah amanah yang menjadi pegangan hidup seseorang.

2 comments:

PP said...

Terima kasih atas komen anda pada blog saya . Ramai yang tidak paham bahawa tujuan pendapat itu sekadar untuk membuka ruang kearah kebaikan . Saya gembira dengan komen anda dan berharap anda juga suka dengan tulisan saya . Moga anda sukses . Sebagai tanda sokongan saya , saya pinda penampilan blog saya saperti blog anda .

COWENG ANAK PILAH said...

Tulisan anda telah menjerat hati saya. Selamat maju jaya dan teruskan usaha dengan bersikap terbuka dan bersedia menerima apa juga pandangan dan cadangan samada ianya pahit, manis ataupun pedas. Kita buka blog mengikut dasar langit terbuka....ke arah matlamat yang sama.