Friday, April 10, 2009

YANG RUGI ADALAH BANGSA SENDIRI

Saya cuma sekadar memandang daripada jauh sahaja. Malah, siapalah saya untuk bersuara lantang dan tampil untuk menyuarakan rasa gundah gulana dengan ketidak persefahaman yang melanda di kalangan ahli-ahli UMNO sendiri.

Mungkin saya masih mentah untuk hadir di dalam kelompok mereka yang tinggi kedudukan, tajam akal fikiran dan luas pengalaman serta lebih petah pula untuk berkata-kata. Bagaimanapun, saya sekadar memandang dan bersuara pada hati agar keresahan pada diri dapat saya redakan seketika. Apatah lagi apabila melihat keretakan yang semakin berjangkit-jangkit dan amat menakutkan jika berlaku `BELAH’ kepada keretakan ini. Maka ini, untuk mendapatkan semula kekuatan itu amat payah, akan kembali semula pada langkah yang sukar.

Pemimpin datang dan pergi. Berlainan cara kepimpinan dan berbeza pula cara sokongan. Ada yang menyokong membawa rebah dan ada pula yang menyokong untuk kepentingan diri sendiri. Untuk telus, ikhlas, berani dan jujur amat sukar dicari. Kalau adapun boleh dikira. Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Walau apapun bijaknya adalah menilai dan merumuskan segala lontaran bicara samada bersifat negatif ataupun positif.

Tersiratnya di sini ingin saya suarakan senario politik yang berlaku sekarang ini. Racunnya adalah segelintir ahli-ahli UMNO sendiri yang cuba memporak perandakan keluarga UMNO yang pernah suatu ketika dahulu bersatu padu, bersefahaman dan bersepakat tanpa meminta-minta imbuhan.

Contohnya di negeri saya sendiri iaitu Negeri Sembilan. Hadir seorang pemimpin yang benar-benar berhati juang untuk bangsa, agama dan negara. Nawaitunya adalah untuk meneruskan pejuangan yang bertunjangkan kepada keikhlasan dan kejujuran serta memikul amanah yang dipertanggungjawabkan. Malah lebih berat lagi untuk menjaga sebaik-baiknya, harga maruah bangsa yang diperjuangkan oleh nenek moyang kita dahulu.

Amat menyedihkan saya, apabila kehadiran pemimpin yang mempunyai kewibawaan tersendiri dikhianati oleh anak bangsa sendiri agar tidak terus menyerlah kepimpinannya. Sengaja memporak perandakan kesepakatan dan persefahaman. Mahu saling jatuh menjatuhkan agar puas hati masing-masing. Puncanya, cuma tidak berpuas hati kerana tanda ringgit tidak selebat yang diperolehi sebelum ini. Projek susah nak dapat dan segalanya. Semuanya sebab duit…duit…duit…

Kesungguhan pemimpin dari negeri beradat ini menyelesaikan permasalahan yang tidak ada kesudahan sebelum ini tidak langsung dihargai, malah disindir sinis dan di tidakkan kebolehan yang ada.

Ibarat membersihkan `BISUL’ yang sudah pecah, begitulah yang dilakukan sebelum ini sebaik sahaja mula kehadirannya mengambilalih tampok kepimpinan negeri. Kebolehannya dalam sektor koporat cuba dipraktikkan untuk memajukan negeri dengan lebih terancang dan berfokus. Berlandaskan keikhlasan itulah dia cuba membawa negeri tempat tumpah darahnya ke era yang boleh dibanggakan oleh masyarakat tempatan dan luar.

Amat terkilan rasanya, jika pemimpin yang berkebolehan dan bersih dalam perjuangannya cuba dihapuskan oleh segelintir mereka yang mempunyai agenda tersendiri. Jika ini terus dibiarkan akan terus hilanglah kepercayaan masyarakat kepada parti keramat ini. Sudahnya…yang rugi adalah bangsa sendiri.

Mencari kemenangan berlandaskan ketelusan dan keikhlasan,
kekalnya hingga berkurun,
tapi mencari kemenangan berlandaskan kekotoran jiwa,
kekalnya cuma seketika.

No comments: