Friday, April 10, 2009

POLITIK ‘9’

Perhimpunan Agong UMNO 2008 telah melabuhkan tirainya pada bulan lalu. Keputusannya menjadi bahan bualan sehinggalah ke hari ini. Ianya banyak memberi kesan secara tidak langsung terhadap lanskap politik tanah air dan kemuncaknya adalah peralihan pucuk pimpinan dari era ‘Mr Clean’ kepada era ‘Mr Reformist’. Demam peralihan masih dirasai dengan pembentukan kabinet dengan slogan “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Semua orang berhak memberi pandangan samada membina atau sebaliknya. Memang lumrahnya manusia, jika baik iman dan taqwanya maka lidah dan mulutnya dijaga dengan baik. Cakap apa yang patut. Komen apa yang perlu. Jika sebaliknya, terpulanglah. Untuk memuaskan hati setiap insan adalah mustahil. Sedangkan kita dari ibu yang sama pun belum tentu bersetuju dikalangan adik beradik. Inikan pula kita sesama manusia berlainan latar belakang, pembawakan, keluarga dan keturunan. Apa yang penting, jagalah tingkah laku dan akhlak kita kerana apa juga tindakan yang dilakukan akan mencerminkan peribadi, keturunan dan keluarga kita.

Semenjak ‘tsunami’ politik melanda negara setahun yang lalu, bahang serta kesannya masih belum reda dan masih dirasai. Samada peringkat nasional mahupun di negeri. Sepatutnya kita rapatkan barisan, kemaskan saf, bersatu dalam segala urusan tetapi malangnya harapan hanya tinggal harapan. Selalu kita dengar saranan yang mengatakan, ‘yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua’. Sepatutnya kata-kata ini dijadikan azimat untuk kita kembali rapat semula bukannya semakin jarak dan berpecah hingga sampai ke akar umbi.

Misalnya di negeri yang terkenal dengan adat pepatih ini. Apa dah jadi ? Sepatutnya keindahan adat yang diwarisi direalisasi dalam hubungan dan kehidupan seharian. Malangnya politik semasa di negeri berdaulat ini sentiasa hangat, ibarat api dalam sekam. Kesan sebegini memberi kesan langsung terhadap kehidupan sekalian rakyat. Dalam keadan ekonomi semasa dan global yang merundum ini, kerjasama dari semua pihak terutama dari para pemimpin sangat penting untuk melonjakkan kembali kebejatan ekonomi ke tahap yang lebih baik dan selesa.

Kita merasa dukacita kerana permasalahan seumpama ini tidak menjadi agenda utama tetapi perebutan kuasa lebih dipentingkan. Ini mengakibatkan berlakunya pelbagai kaedah dan cara demi mendapatkan apa yang diinginkan. Akhirnya terjadilah apa yang kita saksikan hari ini. Fitnah, sabotaj dan memburuk-buruk pemimpin telah menjadi asam garam. Tanpa rasa malu dan bersalah, kepentingan diri lebih diutamakan. Apa nak jadi, jadilah asalkan puas di hati.

Pembangunan rakyat dan negeri akan tergendala. Pemimpin yang diberi amanah tidak dapat memberi tumpuan dek hangatnya ‘politiking’ disekelilingnya. Lebih malang lagi apabila melangkah ke PWTC, negeri yang sembilan sepatutnya ‘solid’, rupa-rupanya hadir dengan pelbagai kem dan puak. Bangga rasanya bila MB sendiri gagal dalam pemilihan. Puas rasanya. Mungkin ada yang mengata, ‘padan muka’. Itulah politik orang Melayu. Dengki dan khianat sampai bila-bila. Rasanya itulah sebenarnya kata Laksamana Hang Tuah, ‘Tak Melayu Hilang Dengki dan Khianat Di dunia.’

1 comment:

Azizahns said...

den pun lotih ngan orang politik ni... kadang-kadang bukan ditengok kebolehan oghaang tapi yang diutamokan oghang tu tak leh lawan dio. sapo yang lawan awal-awal kono tondang.

kojo canteh mencanteh ni bukan peringkat tertinggi ajo. ketuo kampung pun dah pandai canteh mencanteh. bukannyo nak tolong anak bangso... nak bagi pocah bolah.. aduh haiii