Monday, October 20, 2008

BIBI SHARLIZA…HAPUSKAN KEMARAHAN MU

Adat berpolitik, begitulah…kalau sudah sanggup memasuki gelanggangnya, bersedialah dengan segala kemungkinan. Tapi, ambil segalanya dengan bersikap rasional. Memanglah hebat tamparannya, pedih dan amat menyakitkan. Namun, itulah dugaannya. Ambillah segalanya itu sebagai satu cabaran. Jangan kita mudah sangat membuat kesimpulan dan terlalu yakin dengan sokongan. Walaupun tiada pertandingan di peringkat bahagian, namun tidak semestinya segala kehendak kita boleh berpihak seratus peratus ke arah kita.

Jangan disesalkan dengan segala yang sudah berlalu, tapi ambil iktibar darinya dengan mengkaji dimana kesilapan dan kekurangan diri. Itulah perlunya kita memandang di setiap sudut apabila mahu berada di tengah-tengah gelanggang. Jangan terus masuk melulu, sedangkan tempukan yang diberikan, entahkan menyokong entahkan tidak.

Walau apapun, Bibi Sharliza teruskan perjuangan itu jika benar-benar ikhlas dan mahu berbakti kepada bangsa, agama dan negara. Selagi nawaitu tidak menyongsang, selagi itulah kejayaan akan tetap berpihak pada diri. Tekadkan di dalam hati bahawa perjuangan ini adalah jujur dan ikhlas. Tidak sesekali terarah kepada niat yang saling mahu jatuh menjatuhkan. Tetapi mahu seiring mencari kebenaran dan keikhlasan di dalam perjuangan.

Keberanian yang ada pada diri untuk sanggup bertanding, jangan sekali-kali dicalarkan dengan sikap sentiasa tidak berpuas hati. Kelak nanti menjerat diri. Damaikan dan bersihkan hati dari segala perkara yang boleh mengeruhkan kejernihan hati nurani.

Pastinya, pencalonan sudahpun melayakkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Puteri. Jangan membuang masa dengan kesalan yang tidak sudah. Pentingnya, adalah masa pengundian Mac depan. Oleh itu persiapkan diri untuk mendapatkan sokongan.

Sentiasa ingat, kejayaan tidak mudah datangnya seperti yang bulat datang bergolek dan yang pipih datang melayang. Kejayaan yang sebenar dan sejati adalah setelah menempuhi pelbagai ranjau dan duri yang amat menyakitkan. Itupun jika kekuatan kesabaran diletakkan pada tahap yang paling tinggi dalam diri. InsyaAllah.

No comments: