Monday, October 20, 2008

APABILA MOHAMAD HASAN MENANGIS



Terkedu coweng apabila melihat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan menitiskan airmata apabila berucap semasa perasmian Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Rembau.

Lebih terusik lagi hati, apabila tangisan itu menyekat seketika perakhir bicaranya apabila memperkatakan tentang bangsa Melayu dan agama Islam yang dihina.

Pada firasat cowenglah, kalau sudah sampai ke tahap ini, lontaran suara Mohamad Hasan kepada ahli-ahli UMNO, rasanya beliau memang benar-benar mahu keseluruhan ahli-ahli UMNO bangkit dari terus dibuai mimpi bahawa `banjir sudah hampir menenggelamkan diri’. Jangan terus bersengketa sesama sendiri, tetapi perjuangkan nasib bangsa, agama dan negara dengan tekad Melayu tak akan hilang di dunia dan tidak sesekali maruah bangsa tergadai di bumi sendiri.

Apabila diingatkan kembali satu demi satu kata-kata yang diucapkan oleh Mohamad Hasan, terlalu banyak kebenarannya dan tidak mustahil jika kita terus leka, akan musnah dan ranaplah Bahtera Merdeka yang selama ini memperjuangkan nasib Melayu. Akan terkuburlah segala harapan pejuang-pejuang bangsa yang mahukan kelangsungan perjuangan mereka digalas dengan penuh rasa tanggungjawab dan dipikul dengan sifat amanah yang akan beralih ganti dari satu generasi ke satu genarasi.

Dalam senario politik masa kini, tidak salah rasanya kalau saya menyatakan agenda peribadi telah menjadi kegilaan sebahagian ahli-ahli politik sehingga terlupa matlamat sebenar perjuangan. Makanya, mulalah mencari populariti dengan memecahbelahkan orang semata-mata untuk mencari sokongan. Saling mahu jatuh menjatuhkan hanya kerana mahu memenuhi kepuasan hati. Sehinggakan terlupa qada dan qadar Allah pada diri setiap manusia itu. Seakan mahu melawan takdir. Sudahnya yang rugi nanti adalah bangsa sendiri, yang sengsara nanti adalah anak cucu yang belum mengenal erti kehidupan yang sebenarnya. Jadilah nanti bumi ini, padang jarak padang terkukur angkara tangan-tangan khianat yang telah menyongsangkan perjuang-perjuang terdahulu.

Seperti kata-kata Mohamad Hasan:

“Jangan terlampau penuhkan agenda perjuangan ini dengan agenda peribadi. Penuhkan, isikan, suburkan dengan berjuang untuk mempertahankan maruah bangsa dan agama kita. Sapa-sapa boleh menjawat jawatan. Ahli-ahli UMNO boleh menilai. Buat kerja, kalau kita buat kerja orang boleh menilai kemampuan kita. Ini asyik nak menuduh sana menuduh sini, menuding sana menuding sini, buat apa.?”

Mohamad Hasan turut menyeru agar ahli-ahli UMNO perlu sama-sama kuatkan uqwah dan perpaduan, kerana yang penting adalah perjuangan kita.


Menurutnya, ahli-ahli UMNO jangan menganggap dengan keahlian seramai lebih 3.4 juta, Umno tidak boleh tersungkur jika di antara kita masih bertelagah sesama sendiri.

Beliau begitu kesal kerana orang Melayu dihina dan beliau tidak nampak cara lain selain daripada sokongan orang Melayu tanpa mengira latar belakang yang mesti bangun dan berunding. Jika tidak, kita akan tenggelam dan berdagang di negeri sendiri. Kita akan menjadi orang asing dan tergadai di negeri sendiri.

Beliau meminta supaya ahli-ahli UMNO menyambung perjuangan ini elok-elok, kerana baginya tiada parti lain selain daripada UMNO yang boleh memimpin orang Melayu.

Keluhannya juga turut meluahkan rasa amat dukacita kerana ramai pemimpin Melayu yang mengiakan segala tuduhan dan fitnah terhadap orang Melayu sendiri.

Beliau begitu marah orang yang cuba hendak mengganggu gugat dan mempersoalkan kewibawaan orang Melayu. Begitu juga kepada orang yang cuba nak memijak agama Islam.

Beliau tidak sanggup melihat bangsa sendiri digadai. Jelasnya, ramai pemimpin yang sudah tidak sedar diri lagi, pemimpin yang nak berebut jawatan, pemimpin yang tak pedulikan orang Melayu dan pemimpin yang tak pedulikan agama Islam.

“Biarlah saya menangis dan saya akan mengundur diri kalau ramai yang nak menikam daripada belakang pemimpin-pemimpin yang hendak berjuang. Buatlah, ambillah, kerana bagi saya bukan ada segunung emas dan sedulang intan yang nak saya rebutkan. Saya nak perjuangkan orang Melayu, saya akan terus berjuang InsyaAllah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli-ahli UMNO dengan menyatakan “Kalau nak jadi pemimpin, duduknya meraut ranjau dan berdirinya memandang jarak”.

Oleh itu nasihatnya kepada ahli-ahli UMNO supaya jangan terlalu taksub dengan memandang dekat, nak gadaikan maruah kita kerana tak puas hati. Inilah masa kita belajar berjuang.

Katanya lagi, berjuang ini bukan sesuatu yang indah, tetapi penuh pengorbanan. Belajarlah bejuang, sebab kita pasca merdeka yang tidak tahu erti susah. Tahu-tahu sudah ada semua.

BIBI SHARLIZA…HAPUSKAN KEMARAHAN MU

Adat berpolitik, begitulah…kalau sudah sanggup memasuki gelanggangnya, bersedialah dengan segala kemungkinan. Tapi, ambil segalanya dengan bersikap rasional. Memanglah hebat tamparannya, pedih dan amat menyakitkan. Namun, itulah dugaannya. Ambillah segalanya itu sebagai satu cabaran. Jangan kita mudah sangat membuat kesimpulan dan terlalu yakin dengan sokongan. Walaupun tiada pertandingan di peringkat bahagian, namun tidak semestinya segala kehendak kita boleh berpihak seratus peratus ke arah kita.

Jangan disesalkan dengan segala yang sudah berlalu, tapi ambil iktibar darinya dengan mengkaji dimana kesilapan dan kekurangan diri. Itulah perlunya kita memandang di setiap sudut apabila mahu berada di tengah-tengah gelanggang. Jangan terus masuk melulu, sedangkan tempukan yang diberikan, entahkan menyokong entahkan tidak.

Walau apapun, Bibi Sharliza teruskan perjuangan itu jika benar-benar ikhlas dan mahu berbakti kepada bangsa, agama dan negara. Selagi nawaitu tidak menyongsang, selagi itulah kejayaan akan tetap berpihak pada diri. Tekadkan di dalam hati bahawa perjuangan ini adalah jujur dan ikhlas. Tidak sesekali terarah kepada niat yang saling mahu jatuh menjatuhkan. Tetapi mahu seiring mencari kebenaran dan keikhlasan di dalam perjuangan.

Keberanian yang ada pada diri untuk sanggup bertanding, jangan sekali-kali dicalarkan dengan sikap sentiasa tidak berpuas hati. Kelak nanti menjerat diri. Damaikan dan bersihkan hati dari segala perkara yang boleh mengeruhkan kejernihan hati nurani.

Pastinya, pencalonan sudahpun melayakkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Puteri. Jangan membuang masa dengan kesalan yang tidak sudah. Pentingnya, adalah masa pengundian Mac depan. Oleh itu persiapkan diri untuk mendapatkan sokongan.

Sentiasa ingat, kejayaan tidak mudah datangnya seperti yang bulat datang bergolek dan yang pipih datang melayang. Kejayaan yang sebenar dan sejati adalah setelah menempuhi pelbagai ranjau dan duri yang amat menyakitkan. Itupun jika kekuatan kesabaran diletakkan pada tahap yang paling tinggi dalam diri. InsyaAllah.

Sunday, October 19, 2008

“JUAL UNDI ANDA HARI INI MAKA BERAKHIRLAH POLITIK UMNO BAGI ANDA”

Saya begitu teruja dengan ayat ini yang saya baca di dalam blog Tun Dr. Mahathir Mohamad. Persoalannya, apakah tahap kesedaran itu sudah ada kepada keseluruhan ahli-ahli UMNO. Pastinya, ketamakan dunia sudah mengaburkan mata dan tidak pedulikan lagi kesengsaraan yang bakal mendatang jika langkah telah tersasar.

Kalau menongkah arus yang kuat
Biarlah bahtera kuat layarnya
Walau dilimpah budi selaut
Emas menjadi ukuran dunia

Sebenarnya, dalam kelekaan dan kerakusan sesetengah manusia yang sedang berperang dengan emosi yang tidak terarah ini, renunglah sejenak untuk kembali mendapatkan dan mengenggam keikhlasan yang sudah hampir tergadai. Kembalikan kekuatan UMNO dengan keikhlasan budi, tanpa meletakkan tanda harga pada diri sendiri.

Perjalanan kita masih jauh
Entahkan banyak rintangannya
Bersimpang siur
Penuh onak duri
Dan mungkin
Tenggelam dalam tsunami
Untuk sekali lagi

Susunlah semula perjalanan itu
Walaupun jauh
Tapi dekat nampaknya
Agar laluan itu
Tidak menemui jalan sukar
Terus melangkah
Penuh percaya dan yakin
Perjuangan itu ikhlas rela
Bukan paksa