Sunday, November 23, 2008
`POLITIK WANG’ SUDAH JADI GELANGGANG JERAT MENJERAT
Wow!!! Apa dah jadi ni!!! Muka hadapan akhbar Berita Harian, BPR siasat Exco Negeri Sembilan. Nampaknya isu politik wang ni sudah dijadikan gelanggang jerat menjerat, hasut menghasut, tuduh menuduh dan malu memalukan sesama sendiri.
Mungkinkah ada yang bertindak sebagai `investigator’ ataupun `detaktif upahan’ yang cuba untuk mencari bukti jelas? Apa pun kita tunggu penjelasan daripada pihak BPR. Kalau ini berlaku, siapakah yang harus dipersalahkan?
Pada pengamatan coweng, jika benar ada peranan `investigator’ dalam kemelut ini, agak tercabar juga pihak lawan kerana ada cara tersendiri pihak yang satu lagi cuba mencari bukti jelas dalam permainan politik wang yang amat licik ini.
Ibarat gajah dengan gajah berlawan, si kancil yang tersepit di tengah-tengah. Nampaknya sudah ada watak talam dua muka dalam persoalan ini.
Wednesday, November 19, 2008
JANGAN DI SIMPANG SIURKAN JALAN YANG LURUS
Nafsu dan jiwa kalau memberontak, buruk padahnya nanti. Apatah lagi kalau nafsu dan jiwa itu bersatu dengan jutaan ahli-ahli. Memahami yang tersiratnya di sini, berbaliklah kepada sistem demokrasi dalam pemilihan.
Apalah ada pada pemimpin kalau tidak ada sokongan daripada akar umbi. Kekuatan parti letaknya di akar umbi. Selalu orang bangga ramai ahli-ahli dalam UMNO, tapi bila peringkat pemilihan barisan kepimpinan, bila ahli cadangkan nama, kena exco pula yang buat keputusan. Apa ertinya hak dan kuasa ahli untuk menentukan kepimpinan dia sendiri yang seperti tidak dihormati. Ahli masuk parti kerana dia percaya dengan perjuangan parti, kepercayaan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Jika kepimpinan sendiri yang menentukan siapa yang perlu jadi pemimpin dan ahli dinafikan haknya, tidak ada maknanya demokrasi dalam parti.
Dalam tempoh tiga bulan selepas pemilihan baru nak serahkan jawatan. Apa maksud yang tersirat sebenarnya? Kemudian buat pula tiada pertandingan, Apabila seseorang itu telah berjaya mengekalkan kuasa sebagai ketua, tidak mustahil dia akan mengubah fikiran untuk menggekalkan jawatannya.
Alasan seperti `only a fool will not change his mind’ sering digunakan oleh beberapa pemimpin untuk menggekalkan kedudukan dan kuasanya.
Monday, November 10, 2008
JANGAN DICABAR KEWIBAWAAN MOHAMAD HASAN
DST Adnan tidak boleh membuat tuduhan melulu bahawa Badan Perhubungan UMNO Negeri dan UMNO Bahagian Seremban saling tidak mempercayai antara satu sama lain.
Kenyataan ini seolah-olah telah mencorengkan arang ke muka DSU Mohamad Hasan yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang selama ini begitu banyak bersabar dengan kerenah Ketua UMNO Bahagian Seremban Datuk Ishak Ismail.
Rasionalnya di sini, `rambut sama hitam, tapi hati lain-lain’. Begitulah hakikatnya yang dialami oleh keseluruhan peringkat kepimpinan. Untuk memuaskan hati semua pihak adalah sesuatu yang mustahil. Pasti ada ketidakpuasan di hati masing-masing.
Makanya, terjadilah perbalahan dan hasut menghasut semata-mata mahu mendapatkan sokongan demi mencapai hasrat untuk saling jatuh menjatuhkan.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh DST Adnan seolah-olah mendengar sebelah pihak. Ibarat menjatuhkan hukuman sebelum mengadili dengan lebih terperinci.
Seharusnya, DST Adnan, mengambil kira perasaan orang lain sebelum mengeluarkan kata-kata. Apatah lagi kemelut yang berlaku mungkin berpunca daripada `penyakit hati’ yang begitu lama bersarang dan terbawa-bawa kepada tindakan drastik untuk mencapai matlamat yang tidak menghalalkan cara.
Selaku seseorang yang terkecuali, DST Adnan tidak boleh secara sinis mencabar kewibawaan Mohamad Hasan dalam mengeluarkan kenyataan kepada pihak media.
Sunday, November 9, 2008
JIKA PEMIMPIN TAKUT DICABAR, BEGINILAH JADINYA…
Kalau nak diikutkan memanglah malu dengan tragedi yang berlaku semasa Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban pada 9 November 2008 baru-baru ini. Apa tidaknya, orang melayu sesama sendiri bergaduh, sehingga ada yang lebam kena penumbuk dan cedera terkena hambatan kerusi. Dengar khabarnya, Ketua Bahagiannya Datuk Ishak Ismail nyaris-nyaris nak di tubing oleh salah seorang ahli UMNO yang naik berang. Tapi dibentengi oleh sekutu-sekutunya yang sanggup berkorban demi Ishak Ismail. Kalau tidak, tak tahulah…apa jadi????
Jelas, apabila suara akar umbi tidak mahu didengar dan mengikut kehendak sendiri, maka beginilah jadinya. Kehadiran ahli-ahli UMNO dalam mesyuarat yang diadakan bukanlah dikalangan Orang Kurang Upaya (OKU) yang lemah kudratnya untuk melawan, tapi majoriti mereka yang hadir ada kelayakan untuk digelar ahli `sumo’ dan `tinju’. Lebih hebat lagi yang boleh tampil sebagai `hero filem Tamil’ atau ala-ala group `Shaolin Soccer’. Pantang dicabar, libas melibaslah masing-masing.
Dalam kita membicarakan hal ini, ambillah iktibar daripada kejadian yang berlaku. Pastinya, ahli-ahli UMNO terutama di peringkat akar umbi bukannya seperti lembu yang dicucuk hidung, ikut sahaja kemana haluan tuannya. Masing-masing ada pandangan dan pendapat sendiri. Beri kesempatan untuk mereka menyuarakan dan meluahkan sesuatu untuk didengar oleh sekalian ahli-ahli. Kalau kita seorang ketua dan pemimpin yang berkaliber, seharusnya kita sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mendengar suara-suara ahli samada pedih ataupun pahit.
Seperkara lagi, seseorang ketua itu tidak perlu gusar apabila kedudukannya cuba dicabar. Kalau kita yakin sepanjang kita jadi ketua, banyak kebaikan dan kejayaan yang telah kita lakukan, biarkan saja kalau mereka nak mencabar. Buat aje kerja seperti biasa, kerana Tuhan itu tahu. Sebagai ketua juga kita perlu sentiasa bersedia untuk memberi laluan kepada orang lain yang bersedia untuk memimpin. Jangan kita jadikan sesuatu jawatan yang disandang sebagai `jawatan sepanjang hayat’, sedangkan diri sudah semakin tidak menyerlah kepimpinan.
Belajar-belajarlah mensyukuri nikmat yang telah diberi Allah, jangan jadi tamak haluba sehingga menyekat peluang orang lain. Seharusnya, sebelum menceburi bidang politik, masing-masing sudah bersedia untuk menerima kenyataan sama ada dijatuhkan atau dijulang. Jangan kerana tamakkan kuasa, kita lupa matlamat sebenar perjuangan parti.
Saturday, November 8, 2008
PILIHLAH NAKHODA YANG BIJAK MENGEMUDI BAHTERA
Senario politik masa kini turut menjangkiti gejala sikap `orang yang ada kepentingan diri nak bunuh karier politik orang yang berkredibal dan berwibawa’.
Beginilah hakikatnya dari pandangan mata kasar coweng yang rasa terkilan dengan sikap rakus segelintir ahli-ahli UMNO yang sanggup berhempas pulas sehingga hilang maruah diri semata-mata untuk mempertahankan kedudukan yang dianggapnya `hak untuk sepanjang hayat’.
Kalau ini terus dibiarkan, sudahnya, orang yang jujur dan ikhlas dalam perjuangannya tidak boleh berbuat apa-apa kerana disebabkan orang yang ada kepentingan diri cuba untuk menyekat perjuangan mereka, kerana dianggapnya boleh mengancam kedudukan dan menjejaskan hasil pendapatannya yang selama ini boleh dipulun semahunya dengan mudah.
Apakah makna perjuangan itu sebenarnya? Untuk bangsakah, untuk agamakah, untuk negarakah atau untuk diri sendiri?
Kalau politik dijadikan sebagai medan yang rakus untuk melombong emas tanpa mempedulikan kepentingan rakyat keseluruhan, makanya, ditakuti barisan kepimpinan yang dipilih berlandaskan emosi mengatasi kebijaksanaan akal, adalah dikalangan yang `gila kuasa’. Akan terbarislah nanti kepimpinan yang sebenarnya adalah mengkhianat bangsa, agama dan negara sendiri.
Di akui, perjuangan yang jujur dan ikhlas itu, sering dihalangi dengan tangan-tangan khianat dan mulut-mulut cepular yang cuba untuk memendekkan langkah orang-orang yang ikhlas untuk berjuang. Janji hatinya puas, asalkan kedudukannya tidak terjejas dan kehendak hati untuk mendapatkan sesuatu tidak tersekat.
Pemimpin seperti inikah sebenarnya yang perlu kita pertahankan untuk kesinambungan perjuangan kepada anak bangsa. Sanggupkah kita mencalarkan amanah yang ditinggalkan oleh pejuang-pejuang terdahulu semata-mata kerana sudah dibutakan hati dengan lambakan wang ringgit dan kuasa?
Oleh itu, masih belum terlambat untuk ahli-ahli UMNO kembali sedar dalam kelekaan dan terpengaruh dengan simbolik perjuangan mereka yang ada kepentingan diri sendiri.
Jangan nanti kita hanya nampak kuman di seberang laut, sedangkan gajah di depan mata kita tak nampak. Ditakuti nanti kuman yang dipanggil itu tanpa kita sedar, akan sedikit demi sedikit memamah diri sendiri.
Jika di antara kita sudah dapat melihat ada di kalangan pemimpin yang elok budi pekertinya, mulia akhlaknya dan bijak akalnya, pertahankanlah dengan semangat yang kental tanpa mudah dipengaruhi oleh mereka-mereka yang suka menghasut, memecahbelahkan dan memburuk-burukkan sesama manusia. Jangan nanti kita jadi `yang dikejar tak dapat dan yang dikendong pula berciciran’. Yang berciciran belum pasti kita dapat menghimpunkannya semula menjadi seperti asal.
Subscribe to:
Posts (Atom)