Saturday, January 31, 2009

KEMBALI KE PANGKAL JALAN SEBELUM DITELAN GELOMBANG PERUBAHAN

Jadikanlah UMNO dan BN ini seperti laut yang tak penuh dek sarap. Bawalah ketepi dan biarkan terdampar segala keburukan perangai dan kerakusan segelintir manusia yang semakin bersikap tamak dan mahukan kuasa demi untuk kepentingan peribadi.

Amat menyedihkan apabila kekuatan UMNO dan BN yang suatu ketika dahulu tidak pernah goyah telah mula dicalar balarkan dengan sikap ahlinya sendiri yang saling menuding jari dan menidakkan kebenaran.

Malah amat menyeksakan lagi apabila retak yang sudah mula nampak di dalam UMNO dan BN akan menjadi belah jika keseluruhan kepimpinan dan ahli-ahlinya tidak mahu bersatu hati untuk menjernihkan kembali kekerohan yang berlaku.

Salahkanlah diri sendiri jika UMNO dan BN semakin tidak mendapat tempat dihati rakyat kerana sikap yang tidak pernah mahu berubah. Malah semakin nak menunjukkan kehebatan masing-masing sehingga lupa rakyat sekeliling semakin mual dengan sekelompok mereka yang ada kepentingan peribadi mengejar kedudukan dalam politik untuk mendapat kuasa.

Apabila memasuki politik,
Jika ada di kalangan mereka yang mempunyai agenda peribadi…
Sudah-sudahlah tu untuk mengejar kekayaan
Sudah-sudahlah tu menggenggam harapan
untuk mudah mendapat projek
Sudah-sudahlah tu mahu senang menjadi kaya
Hanya cuma
Mengharapkan yang pipih datang melayang
Dan Yang bulat datang bergolek

Coweng percaya, masyarakat keseluruhannya, walaupun ahli parti sendiri sudah lama memandang dari jauh, walaupun kabur tapi nampak jelas. Perjuangan kini tidak seperti di zaman generasi terdahulu yang benar-benar ikhlas dalam perjuangannya. Tidak ada kepentingan peribadi. Tidak terpesong kesetiaan mereka walaupun ditabur wang ringgit. Yang penting dalam perjuangan mereka adalah untuk melihat anak cucu mereka nanti tidak merempat di bumi sendiri. Terbela nasib mereka, hidup aman bahagia di bumi tanah tumpah darah.

Alangkah daifnya perjuangan segelintir anak bangsa kini yang tidak lagi menjadikan perjuangan lalu sebagai pedoman kejalan yang menuju kebenaran.

Wednesday, January 28, 2009

BENARKAH KUASA DUIT MENGATASI KUASA POLITIK?

Coweng terpanggil nak story sikit mengenai kuasa duit dalam politik ni. Apatah lagi dalam senario politik sekarang yang begitu menggusarkan ramai pihak.

Apakah benar kuasa duit ini menjadi pegangan kuat kepada sesetengah pemimpin yang menganggap boleh meraih sokongan padu dari ramai masyarakat?

Pada mereka tidak perlu selalu turun padang mendekati rakyat, yang penting bersedia untuk sponser apa juga majlis yang dianjurkan oleh pringkat kawasan atau bahagian mereka. Tak payah nak layan banyak kerenah rakyat yang tidak akan ada habisnya.

Kalau sikap begini diamalkan, coweng rasa, janganlah jadi wakil rakyat. Apa matlamat sebenarnya nak jadi wakil rakyat? Nak mencari keuntungan peribadi kerana merasakan ada banyak peluang-peluang boleh diperolehi untuk mengumpul harta? Nak duduk di kerusi empuk dan berhawa dingin dengan ada kereta besar dan pemandunya? Nak ada kuasa mutlak supaya dipandang tinggi dan dihormati oleh orang ramai?

Kalaulah ini terus menjadi pegangan sesetengah pemimpin, coweng rasa akan semakin terkilanlah kita untuk melihat UMNO terus bangkit menjadi parti yang begitu dihormati dan disayangi oleh rakyat. Pemimpin perlu pandai membezakan nilai wang ringgit dengan nilai budi bahasa. Yang mana satukah akan membawa kasih dan kesetiaan yang berpanjangan sehingga diletakkan di sudut hati yang paling dalam oleh setiap insan?