Thursday, June 19, 2008

Bekas peneroka Felda Sendayan: Apa lagi tak puas hati ni...?

Coweng terbaca dalam akhbar Sinar Harian berkenaan sikap beberapa penduduk yang membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah terhadap Menteri Besar Incoporation (MBI) kerana mendakwa syarikat itu tidak mematuhi perjanjian jual beli berhubung tanah pertanian mereka masing-masing yang seluas 0.4 hektar.
Memang susah nak memuaskan hati semua orang. Macam mana terbaik pun diselesaikan permasalahan mereka yang sudah tertangguh lebih 10 tahun lalu, masih juga mahu mencari ruang untuk menidakkan kebenaran yang sudah termaktub. Memukul canang supaya orang terpengaruh dengan ketidakbenaran yang direka oleh diri sendiri yang bersikap mementing diri, sedangkan orang yang ikhlas menyelesaikan masalah mereka tidak langsung dijaga hati dan nama baik.
Apakah ini balasan yang diberikan kepada seorang pemimpin yang telah berusaha siang malam dan mencari jalan terbaik untuk merungkai kemelut peneroka Felda Sendayan sehingga golongan peneroka mampu menggenggam ratusan ribu ringgit hasilnya?
Belajarlah erti bersyukur dan jangan bersikap tamak, malah lebih buruk lagi cuba untuk menconteng arang kepada orang yang telah memberikan bantuan. Silap nanti diri sendiri yang tersungkur dan rebah tanpa dipedulikan orang.
Coweng terpanggil untuk mencari kebenaran ini dan ternyata di dalam laporan sebelum ini, apabila dibaca dan diteliti secara terperinci jelas terdapat kekeliruan bagi pihak yang mendakwa. Kebenarannya yang coweng difahamkan iaitu pada bulan Februari 2005, MBI telah mengemukakan cadangan package penyelesaian dan telah dipersetujui oleh sebahagian besar tuan tanah Kampung Sendayan.
MBI bersetuju untuk membeli tanah ladang dan tanah dusun tersebut dengan harga belian mengikut kadar RM3.00 sahaja setiap satu kaki persegi ke atas keseluruhannya.
Kedua-dua pihak juga bersetuju harga belian yang perlu dibayar oleh MBI kepada tuan tanah akan dibayar, dilangsaikan atau diselesaikan dalam bentuk wang tunai dan dalam bentuk hartanah dalam bahagian-bahagian dan mengikut cara yang dinyatakan iaitu:
Dibayar sebanyak 40 peratus secara tunai yang mana 10 peratus telah dibayar semasa perjanjian jual beli dengan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan. Balasan aset yang terdiri daripada pemberian tanah iaitu secara kontra iaitu sebidang tanah bangunan seluas 929 meter persegi atau bersamaan 10,000 kaki persegi bersama dengan sebuah rumah banglo satu tingkat yang didirikan di atas keluasan binaan bangunan berjumlah 168 meter persegi atau bersamaan 1,800 kaki persegi yang bernilai RM240,000. Satu bidang tanah dusun dengan keluasan 0.8094 hektar atau bersamaan 2 ekar secara aggreget yang bernilai RM348,480.00.
Coweng difahamkan daripada perjanjian itu kedua-dua pihak telah bersetuju bahagian harga belian yang akan dibayar atau diselesaikan secara balasan tunai akan dibayar oleh MBI kepada tuan tanah dalam tempoh satu bulan dari tarikh perjanjian ditandatangani. Manakala bahagian harga belian yang akan dibayar atau diselesaikan secara balasan aset akan diselesaikan dalam tempoh masa 24 bulan dari perjanjian ditandatangani.
Berdasarkan perjanjian itu, MBI hanya akan menyerahkan sebuah rumah banglo satu tingkat dan tanah pertanian seluas dua ekar kepada penduduk Kampung Sendayan yang terlibat selewat-lewatnya pada bulan Februari 2008.
Memandangkan tanah tersebut sedang dibangunkan secara berperingkat-peringkat, MBI bersetuju sebahagian daripada tanah itu yang masih lagi ada tanaman kelapa sawit dipajakkan kepada Syarikat Tanah Datar Sdn. Bhd. Untuk mengeluarkan hasil mulai 1 Mei 2006. Bagi tanah lapang yang lain dilantik Syarikat ZNB Enterprise menguruskan penyewaan tanah-tanah tersebut kepada pengusaha kecil sama ada bagi tujuan menanam sayuran, rumput, tapak semaian dan sebagainya iaitu bagi tempoh jangka pendek. Kebenaran kepada kedua-dua syarikat tersebut telah ditamatkan pada 31 Mei, 2008.
Oleh itu, tuduhan MBI menyeleweng atau menyalahgunakan kuasa serta tidak mematuhi perjanjian jual beli terhadap tanah-tanah tersebut adalah tidak berasas. Berdasarkan perjanjian yang telah ditandatangani, bekas tuan-tuan tanah tersebut hanya berhak terhadap tanah pertanian seluas dua ekar selepas diberi milik kepada mereka. Tanah tersebut telah diberi milik kepada mereka hanya pada bulan Februari 2008.
Kebenarannya ada pada penjelasan coweng ini. Oleh itu, akurlah kepada kenyataannya dan janganlah diputarbelitkan kesahihannya, kelak nanti takut tuduhan akan memakan diri sendiri.
Sesungguhnya, jangan sekali-kali kita permainkan keikhlasan dan kejujuran, kerana itu adalah amanah yang menjadi pegangan hidup seseorang.

Sunday, June 8, 2008

Bukit Mantin gondol…angkara siapa?

Semasa coweng berbual dengan seorang pensyarah, dia ada menyuarakan kekecewaannya akibat kegondolan bukit Mantin.
Katanya, keindahan pemandangan di jalan itu sudah tiada. Kalau dulu sejuk mata memandang setiap kali lalu. Tapi sekarang, sungguh menggecewakan.
Dia hairan, mengapa Menteri Besar Negeri Sembilan ni, senang-senang sahaja bagi orang keluarkan hasil balak di kawasan itu sehingga gondol Bukit Mantin. Sayanglah sikit alam sekitar. Janganlah asyik bagi untung pada orang, sehingga tidak ambil kira hati masyarakat ramai.
Tersentak juga coweng bila mendengarnya. Kenapa jadi macam ni ya! Takkan Mohamad Hasan boleh buat macam ni.
Coweng pernah dengar orang merungut, Mohamad Hasan sejak jadi Menteri Besar ni, susah nak bagi kelulusan keluarkan balak. Bagi surat sokongan macam mana baiklah, bodek macam mana baiklah, langsung dia tak akan layan.
Persoalan pensyarah itu coweng cuba cari kebenarannya. Memanglah, kebenaran itu ada kalanya sukar untuk diyakinkan dan ada waktunya pula sukar untuk dimengertikan.
Perjanjian yang ditangani antara pentadbiran terdahulu dengan pengusaha bagi membenarkan kawasan seluas 2,000 ekar di Bukit Mantin dikeluarkan hasil balak dan tanah berstatus Persendirian di kawasan yang sudah pula diluluskan pelan pembangunannya, telah mengikat Kerajaan Negeri sekarang daripada menghalang aktiviti pembalakan di kawasan tersebut.
Walaupun sudah mendapat nasihat undang-undang cara mana kalau boleh elakkan daripada menghormati perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini, tetapi tidak boleh kerana perjanjian itu telah dibuat dan tanah itu pula telah diberi status tanah Persendirian.
Kerajaan Negeri terpaksa mengalah daripada tindakannya cuba menghalang pengusaha meneruskan aktiviti membalak di kawasan itu bagi mengelakkan kerajaan diheret ke mahkamah.
Kesihan juga coweng pada Mohamad Hasan ni. Tak pasal-pasal dia dipersalahkan. Tanpa usul periksa ada pula pihak yang memutarbelitkan fakta dan menuding jari kepada Menteri Besar Incorporated (MBI) yang dipersalahkan kerana memberi kebenaran membalak di kawasan itu.
Ekoran daripada aktiviti itu pula, telah mengakibatkan kawasan penempatan di Lenggeng mengalami masalah banjir.
Tindakan memberi kebenaran membalak bagi sesuatu kawasan dan tanahnya kemudian diberikan milik kepada orang perseorangan bukan sahaja berlaku di Mantin, tetapi juga di beberapa kawasan lain di Negeri Sembilan.
Kesihan pulak coweng kepada Menteri Besar Negeri Sembilan ni. Tak sudah-sudah dihentam pelbagai isu yang menghasut orang ramai supaya membencinya.

Saturday, June 7, 2008

Layakkah Mohamad Hasan Naib Presiden


Baru-baru ini coweng ada terbaca di akhbar tempatan, Menteri Besar Negeri Sembilan Dato' Haji Mohamad Hasan tawar diri nak bertanding Naib Presiden UMNO.
Sebelum ni ada juga coweng dengar suara-suara yang mensyorkan agar beliau bertanding ke jawatan tersebut. Apatah lagi dalam senario politik sekarang yang perlukan orang-orang yang berwibawa seperti beliau.
Coweng fikir, apabila dari mulut beliau sendiri yang berkata hendak menawarkan diri bertanding, maksudnya beliau benar-benar ikhlas dalam perjuangannya itu.
Dari pemerhatian coweng, Dato' Mohamad Hasan ni, bukan calang orang senang-senang nak menawarkan dirinya, apatah lagi nak bersaing dengan rakan politik yang lain.
Kedengaran juga di telinga coweng, Menteri Besar Negeri Sembilan ni memang layak untuk bertanding ke jawatan tersebut, memandangkan dia mempunyai kehebatan tersendiri di dalam kepimpinannya.
Ibaratkan beliau ni, `sudahpun mengukur baju di badan sendiri'. Kiranya, penawaran beliau ini bukan seperti `melepaskan batuk di tangga' dan 'bukan seperti memukul tin kosong'. Selantang manapun dia bersuara, percakapannya adalah orang yang berilmu.
Mungkin dirinya terpanggil untuk bertanding apabila melihat keadaan UMNO sekarang yang hampir hilang kepercayaan di mata hati masyarakat.
Cowengpun menyangkakan begitu juga, kerana apabila dilihat dari gaya kepimpinannya, beliau memang seorang yang jujur dan ikhlas di dalam perjuangannya.
Bukanlah coweng nak bodek Dato' Mohamad Hasan ni, tapi ada realitinya. Lihat sajalah cara kepimpinan yang dibawanya di Negeri Sembilan. Begitu berfokus dan terancang. Perubahan begitu ketara sekali apabila dibandingkan pada masa-masa lalu.
Dari pandangan tropong dan kata-kata yang coweng dengar, beliau ni terlalu `low profile'. Tidak banyak bercakap di dalam melaksanakan kerja. Seorang anak bangsa yang kuat jati dirinya dan berwawasan.
Tapi keikhlasan dan kejujurannya itu sering di salah ertikan oleh sekutu yang mementingkan diri sendiri dan sentiasa tidak berpuas hati.
Daripada senario politik sekarang, beliau memang layak tampil ke hadapan untuk bersuara lantang mengembalikan semula keyakinan masyarakat kepada UMNO.
Tapi terserah kepada setiap yang empunya diri menilainya. Zaman sekarang bukan lagi zaman bermenung, zaman sekarang perlu pantas berfikir dan bijak membuat keputusan.
Bagaimanapun dengan pengumuman beliau itu, bakal merancakkan suasana pemilihan kerana ramai juga yang telah menawarkan diri sebelum ini.
Mereka termasuklah penyandangnya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik serta Dato' Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Luar.